Tuesday, 16 August 2016

"AMALAN GOTONG-ROYONG DAPAT MELAHIRKAN SILATURAHIM DENGAN PELBAGAI KAUM"




PENGHARGAAN

Bismillahirahmanirahim..



     Alhamdulillah, bersyukur ke atas Hidrat Ilahi dengan limpahan rahmat serta nikmat masa, nyawa dan tenaga yang dianugerahkan kepada kami dapat juga kami menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

     Pertamanya kami ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada pensyarah tercinta kami Puan Ruswani Bt Wan Abdullah kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuka ruang untuk kami sekumpulan menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

     Selain itu, Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa yang memberi kami pemudah cara untuk menyiapkan kerja kursus ini. Mereka telah memberikan segala kemudahan dan sokongan moral yang tidak terhingga sehingga kami berjaya menghabiskan tugasan ini.

     Ucapan penghargaan ini juga kami tujukan kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang kami telah alpa. Mereka membantu kami dengan menjawab setiap pertanyaan yang kami utarakan kepada mereka.

     Akhir madah, kami mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dalam pembikinan kerja kursus ini.

Sekian, Terima Kasih  


PENDAHULUAN



Menurut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud amalan saling menolong atau kerja bersama-sama. Masyarakat  Malaysia pada hari ini, kurang mengamalkan gotong-royong oleh sebab mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer. Sebenarnya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus dipupuk sejak kecil. Amalan bergotong-royong juga telah banyak membawa kebaikan kepada kita.         

Pertama sekali, bergotong-royong dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan curiga. Selain itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mempercepat dan mempermudah kerja seharian. Jika semua orang bersatu padu, tolong-menolong, maka kerja yang sukar atau berat akan menjadi senang dan ringan. Contohnya, sekumpulan murid diberi tugasan oleh guru untuk membersihkan Taman Bunga di kawasan sekolah. Kalau murid-murid bekerjasama dan tidak malas, aktiviti pembersihan Taman Bunga dapat disiapkan dalam masa yang singkat.            

Amalan gotong-royong juga dapat memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat berbilang ras dan agama. Dalam satu taman, terdapat jiran tetangga yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, semangat kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti-aktiviti seperti majlis kenduri , musim perayaan utama, kempen yang berkaitan dengan semangat kejiranan atau aktiviti yang memerlukan kerjasama semua orang.            

Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan ceria. Kawasan yang bersih dan ceria dapat mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera bak kata slogan pihak berkuasa tempatan, yakni ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.            

Secara kesimpulannya, aktiviti gotong-royong banyak mendatangkan kebaikan kepada penduduk setempat yang rata-rata terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama untuk hidup aman makmur, saling menghormati dan bekerjasama, bak kata  peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing





USAHA-USAHA MEMUPUK SILATURAHIM



Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tidak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

KESIMPULAN



  Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri  Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.



lampiran











No comments:

Post a Comment